LAPORAN LAWATAN PENANDA ARAS KE SEKOLAH MENENGAH SAINS
MUZAFFAR SYAH
Pada 25
Mei yang lalu, PIBG Sekolah Kebangsaan Serkam Darat telah mengadakan satu
Lawatan Penanda Aras ke Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Melaka Lawatan
ini telah disertai oleh murid tahun 6 seramai 36 orang dan 6 orang AJK PIBG
serta seorang guru pengiring. Pihak persatuan telah berbincang dengan pihak
sekolah tersebut dan menyatakan tujuan lawatan ini diadakan. Pihak persatuan
melalui Biro Pendidikan telah mengambil tanggungjawab menguruskan lawatan ini.
Antara tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberikan pendedahan,
pengalaman sebenar dan meningkatkan motivasi murid-murid Tahun 6 yang bakal
menduduki peperiksaan UPSR pada bulan September ini. Pihak persatuan amat
berharap, murid-murid Tahun 6 akan terus berusaha dengan lebih gigih lagi bagi
memastikan kejayaan menjadi milik mereka. Pihak persatuan juga berharap,
melalui lawatan ini murid-murid Tahun 6 telah jelas dan mendapat pendedahan mengenai
sekolah berasrama penuh yang perlu dijadikan impian dan cita-cita dalam diri
mereka apabila melangkahkan kaki ke sekolah menengah pada tahun hadapan. Pada
sesi lawatan ini murid-murid telah diberikan taklimat mengenai sekolah yang
telah terbukti cemerlang dan melahirkan ramai cerdik pandai. Murid-murid juga
telah dibawa melawat ke sekitar kawasan sekolah dan asrama. Pihak persatuan
mengucapkan terima kasih kepada pihak SM Sains Muzaffar Syah kerana sudi
menerima kunjungan dari SKSD. Berikut adalah gambar-gambar yang dapat diambil
sekitar lawatan ini berlangsung.